Home > Newsroom > Press Releases








Uni.Asia General Insurance Catat Untung Kasar Melebihi RM60 Juta

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2006:
Uni.Asia General Insurance Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM61.3 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 berbanding RM59.0 juta pada tahun sebelumnya. Paras keuntungan tersebut adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah 28 tahun Syarikat ini.

"Keputusan cemerlang ini dijana oleh pertumbuhan pendapatan dari pengunderaitan yang lebih baik. Walaupun insurans motor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan Syarikat iaitu sebanyak 77.1 peratus daripada jumlah premium keseluruhan, kami juga berbangga dengan pencapaian cemerlang segmen bukan-motor terutama insurans kebakaran," kata Hashim Harun, Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan, Uni.Asia General.

Lebihan pengunderaitan selepas perbelanjaan pengurusan meningkat sebanyak 18.1 peratus kepada RM43.6 juta daripada RM36.9 juta pada tahun sebelumnya. Peningkatan di dalam keputusan pengunderaitan ini disebabkan oleh pertumbuhan premium yang kukuh sebanyak 12.5 peratus daripada RM321.0 juta pada tahun sebelumnya kepada RM361.6 juta pada tahun tinjauan. Oleh kerana penyesuaian ke atas cukai dibuat pada tahun sebelumnya, keuntungan selepas cukai susut sebanyak 15.0 peratus daripada RM49.3 juta kepada RM41.9 juta pada tahun tinjauan.

Peningkatan premium Uni.Asia General secara tidak langsung adalah disokong oleh pertumbuhan sektor automotif di Malaysia yang mencatatkan jualan kenderaan baru yang memberansangkan iaitu peningkatan sebanyak 13.0 peratus kepada 551,000 unit pada tahun 2005 berbanding 488,000 unit pada tahun 2004.

Faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian cemerlang Syarikat ialah sumbangan daripada pelbagai saluran jualan terutama saluran bankasurans. Sumbangan premium daripada bankasurans meningkat sebanyak 37.0 peratus daripada RM38.0 juta pada tahun sebelumnya kepada RM52.0 juta pada tahun tinjauan.

"Uni.Asia General melihat saluran bankasurans sebagai salahsatu penjana utama pertumbuhan Syarikat. Kami akan meneruskan kerjasama yang lebih rapat dengan rakan kongsi perbankan kami iaitu EON Bank dan UOB Bank untuk meningkatkan lagi jualan dan juga untuk terus bekerjasama untuk mengeluarkan produk-produk baru yang lebih menarik serta bersesuaian dengan keperluan pelanggan mereka untuk kebaikan bersama," kata Hashim.

Sementara itu, Syarikat akan terus memfokus ke arah menjana sumbangan premium yang tinggi dengan mengembangkan kekuatan agensi tradisionalnya. Usaha lain termasuk memperkuatkan lagi kemampuan jualan di dalam pasaran insurans am terutama di dalam pembangunan produk sasaran dengan memperkenalkan produk-produk baru dan inovatif untuk menembusi segmen pelanggan baru dan sedia ada dengan lebih baik.

"Selepas melancarkan beberapa siri pakej insurans motor yang berorientasikan ke arah kumpulan sasaran pelanggan, Uni.Asia telah melancarkan AutoStar untuk kebaikan pelanggan-pelanggan insurans motornya secara menyeluruh. Kami berbangga untuk mengumumkan bahawa Uni.Asia adalah syarikat insurans yang pertama di negara ini melaksanakan penjenamaan semula Pelan Insurans Motor Komprehensifnya kepada AutoStar," kata Hashim.

Produk-produk inovatif lain yang kini berada di pasaran termasuk Pelan Pembayaran Ansuran Tanpa Faedah untuk Insurans Motor, Pelan Perlindungan Berganda dan Pelan Pampasan Untuk Pekerja Asing.

"Untuk perancangan masa hadapan, Uni.Asia akan berusaha keras untuk meningkatkan pulangan kepada pemegang-pemegang sahamnya dengan memfokus ke arah memperbesarkan saluran sedia ada serta memberi perkhidmatan dan produk-produk yang lebih baik dan inovatif kepada pelanggan-pelanggannya," sambung Hashim.