
Uni.Asia General Mengumumkan
Perlantikan Ketua Pegawai Operasi
KUALA LUMPUR, 1 April 2008 – Uni.Asia General
Insurance Berhad hari ini mengumumkan perlantikan Encik Mohd Fauzi
Yaakub sebagai Ketua Pegawai Operasi Syarikat (COO).
Sebelum beliau dilantik ke jawatan tersebut, Mohd Fauzi ialah Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat, di mana beliau bertanggungjawab ke atas operasi harian berkaitan pejabat cawangan, pemasaran dan komunikasi korporat, teknologi maklumat, jaminan pematuhan, hal-ehwal perundangan dan pemulihan, hartanah, sumber manusia dan pentadbiran am. Beliau menyertai Uni.Asia General pada bulan Julai 2000 sebagai Ketua Juruaudit Dalam.
Perlantikan Mohd Fauzi adalah sebahagian daripada rancangan Pihak Pengurusan serta strategi pertumbuhan yang diilhamkan oleh barisan Lembaga Pengarah Uni.Asia General.
Pengerusi Uni.Asia General, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, mengulas tentang perlantikan tersebut sebagai berkata, “Perlantikan ini menandakan kesinambungan pelan strategik kami untuk mengukuhkan lagi operasi perniagaan kami. Kami percaya bahawa kemahiran pengurusan serta pengalaman luas yang dimiliki oleh Mohd Fauzi akan mengukuhkan lagi taraf perkhidmatan kepada para pelanggan selaras dengan usaha untuk meningkatkan lagi perniagaan insurans kami. Kami berasa yakin bahawa beliau akan membawa Syarikat kami ke tahap yang lebih cemerlang, sambil memperkukuhkan lagi kedudukan Syarikat di dalam industri.”
Sementara itu, Syarikat juga mengumumkan perletakan jawatan Encik Hashim Harun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan.
Syed Anwar berkata, “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Hashim di atas sumbangan yang tidak berbelahbagi kepada Syarikat kami. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam apa jua bidang yang beliau ceburi di masa hadapan.” |