
Kempen Derma Darah Syarikat Insurans Berjaya Menarik Perhatian
KUALA LUMPUR, 5 April 2010 - Uni.Asia General Insurance Berhad telah menganjurkan satu kempen derma darah baru-baru ini sebagai salahsatu aktiviti tanggungjawab sosial korporat tahunannya kepada masyarakat.
Kempen yang bertemakan “Menderma Sebagai Hadiah untuk Kehidupan” telah dianjurkan di Menara Uni.Asia pada 5 April 2010. Ia bertujuan membantu menambah bekalan darah bagi kegunaan di hospital di seluruh negara.
“Menderma darah adalah salahsatu hadiah yang terbaik dalam kehidupan yang boleh kita berikan kepada masyarakat. Proses ini mengambil masa hanya beberapa minit tetapi boleh membawa perbezaan besar kepada mereka yang memerlukan pemindahan darah beberapa kali,” kata David Tan, Ketua Pegawai Eksekutif, Uni.Asia General.
Kempen selama enam jam itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan, penyewa bangunan dan pelanggan Uni.Asia General. Ia merupakan satu kempen yang berjaya kerana jumlah penderma darah melebihi kempen yang diadakan sebelum ini, dengan lebih daripada 70 pain darah berjaya dikumpulkan pada kempen tersebut.
Kempen berkenaan merupakan kempen menderma darah kali kedua yang dianjurkan oleh Uni.Asia General dengan kerjasama pihak Pusat Darah Negara. Sejak itu, syarikat berharap untuk menjadikan kempen sebegini agenda tahunan dan bukan hanya dianjurkan sekali sahaja. |